“Tak Boleh Ustazah. Pagi Ibu Kalut Masak Dan Malam Saya Ikut Ibu Pergi Berniaga” – Netizen Sebak

WAJAH murid ini tampak sedih. Dan dia sangat sukar mengukir senyuman dalam kelas.

Dia juga masih membaca Iqra’ sedangkan rakan-rakannya yang lain semuanya sudah naik al-Quran. Bahkan, ada yang sudah khatam dan mengulang buat kali kedua.

Sebagai ustazah yang memimpin halaqah ini, saya terpanggil untuk berbuat sesuatu membantunya agar setanding bacaan dan pencapaian al-Quran murid ini.

Selain saya memperuntukkan lebih sedikit masa untuk mendengar dan membimbing bacaan Iqra’nya, saya cuba menasihatinya agar turut membacanya di rumah. Agar lebih kukuh kemahiran bacaannya.

“Balik nanti, baca Iqra’ ni juga, tau. Minta ibu dengar bacaan kamu,” saya memulakan bicara menasihatinya.

Dia menggeleng.

Dan saya terkejut.

“Aik, kenapa? Tak boleh ke?” Tanya saya kehairanan.

“Tak boleh ustazah. Ibu kerja malam-malam.”

“Ayah?”

Dia diam.

“OK OK. Kalau macam tu baca dengan ibu sebelum mai sekolah. Sempat tak?”

Dia menggeleng lagi.

“Eh, tak boleh juga?”

“Tak boleh. Pagi kalut. Ibu masak,” berterus terang dia menjawab pertanyaan saya.

“Habis tu, di rumah memang kamu tak mengaji ka?”

Geleng lagi. Kali ini lebih banyak gelengannya. Mulutnya dimuncungkan ke hadapan.

Masha Allah.

Jujur benar anak kecil ini.

Kemudian, dia bersuara lagi.

“Malam saya ikut ibu pi berniaga. Saya bawa Iqra’ tapi tak boleh baca. Bising sangat, ustazah,” ujarnya lagi dengan sedih.

Ustazah terkedu mendengar penjelasannya

“Ohh, tak pa tak pa. Kamu baca dengan ustazah sudahlah kat sekolah kalau macam tu,” balas saya apabila mendengar penjelasannya.

Mendengar jawapan saya itu, barulah anak kecil ini tersenyum.

Manis rupanya apabila dia tersenyum.

Begitulah kehidupan.

Biarpun misi kehidupan adalah mencari bahagia. Namun, jalannya pasti berbeza-beza.

Ada yang mendapat jalan lurus terus menuju ke destinasi.

Ada yang terpaksa melalui jalan yang berbengkang-bengkok.

Malah, ada yang hanya mempunyai pilihan melalui denai yang berair dan berlopak.

Memang sukar jalan yang perlu ditempuhi.

Facebook: Mawaddah MN

– Merupakan seorang Guru Bahasa Arab Sekolah kebangsaan (SK) Bertam Perdana, Pulau Pinang

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! Limau Madu Press

Sumber: Sumber

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*