Dulu jamah sisa makanan, pengutip sampah kini bergelar jutawan

“Jadikan kemiskinan sebagai motivasi, jadikan kekayaan sebagai inspirasi. Apabila memperoleh rezeki, kita perlu bersyukur dan berbuat kebajikan dengan hidup berbakti.”

Demikian kata ikon usahawan muda, Mohamad Azlan Abdullah @ Ali, 32, yang kini kisah hidupnya dibukukan dengan tajuk ‘Rahsia Pengutip Sampah Jadi Jutawan’.

Peneraju syarikat Azlan Al Amin Properties Sdn Bhd itu turut bersyukur apabila kisah pengalaman hidupnya yang berasal dari keluarga miskin tegar, namun kini bergelar jutawan telah menjadi inspirasi kepada orang lain.

“Kita perlu sedar keberkatan, kesempitan atau kemurahan rezeki bergantung kepada hubungan kita dengan ALLAH. Jika kita ada masalah hubungan dengan ALLAH, rezeki sempit.

“Sebagai manusia, kita tidak pernah sunyi daripada kesilapan dan kelemahan, namun ALLAH melihat bagaimana kita mengubah kesilapan dan mengatasi kelemahan itu dengan bertindak untuk menjadi lebih baik dan memperbaiki kekurangan itu agar lebih cemerlang,” katanya.

Mohamad Azlan yang juga anak kelahiran Besut, Terengganu berkata, antara pengalaman yang tidak dapat dilupakan sewaktu melalui fasa kehidupan yang sukar adalah apabila beliau menjadi pengutip sampah di bawah syarikat kontraktor pembersihan selama 6 bulan di Kem TUDM Gong Kedak, Pasir Putih, Kelantan pada 2005.

“Ketika itu, saya selalu membawa balik makanan kurang elok yang diasingkan untuk dibuang di kantin Kem TUDM tetapi masih boleh dimakan seperti ayam dan ikan untuk keluarga. Suatu hari bila balik rumah, saya nampak emak menangis melihat ulat jatuh dari poket baju saya ketika membasuh.

“Dari situ, saya tekad untuk mengubah kehidupan kerana kasihankan emak saya. Emak menangis dan berdoa semoga saya mendapat peluang lebih besar.

“Saya menghargai jasa emak, Siti Aishah Ismail, 57, dan ayah, Abdullah @ Ali Ahmad, 73 yang membesarkan kami 16 beradik dan memberikan pendidikan walaupun serba kekurangan,” ujarnya.

Keputusan beliau untuk tinggalkan rumah dengan berbekalkan RM1.30 telah membina kehidupan baru dan pertemuan dengan Cikgu Halim Md Saman dan Cikgu Ramli Hassan telah membuka jalan rezeki Mohamad Azlan dalam bidang hartanah.

“Saya percaya kepada pemikiran positif akan menghasilkan tindakan positif, seterusnya membawa kejayaan. Bila dan di mana, saya tidak tahu. Apa yang pasti kejayaan akan hadir apabila saya berusaha dengan betul,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*