NORA CERITAKAN DETIK TERAKHIR DIA BERJUMPA DENGAN ANAKNYA

Salaman dan pelukan Muhammad Syakir Alif Johan yang diberikan pagi tadi masih dirasakan oleh penyanyi terkenal, Nora Ariffin.

Tidak pernah terlintas di fikirannya itu merupakan pertemuan terakhir dengan anaknya itu.

“Pagi tadi Alif hantar Nora ke airport. Dia nampak sangat okey. Alif peluk dan salam Nora macam biasa… sampai di Singapura dapat panggilan kata Alif sudah tiada… Allahuakbar,” kata Nora sambil teresak-esak dalam telefon ketika dihubungi Astro AWANI sebentar tadi.

Nora sebelum itu menerima panggilan telefon daripada pembantu rumahnya memaklumkan Alif tidak sedar diri sebelum segera menghubungi ambulans.

Muhammad Syakir Alif yang berusia 20 tahun meninggal dunia pagi tadi ketika dalam perjalanan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) .

Allahyarham yang juga penuntut jurusan perfileman di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pernah menyertai program nyanyian realiti terbitan sebuah stesen televisyen baru-baru ini.

Nora ketika dihubungi sedang dalam perjalanan dari lapangan terbang menuju PPUM bagi menziarahi jenazah anaknya.

Kata penyanyi itu, dia tidak mendapat sebarang maklumat lanjut punca kematian anaknya itu.

“Saya dalam perjalanan ke PPUM, saya benar-benar buntu,” kata Nora lagi.

Ketika ini, jenazah Alif berada di PPUM dan akan dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Tunku, Petaling Jaya pada hari ini juga.

“Insya-Allah akan dikebumikan hari ini juga. Doakan saya supaya memperoleh kekuatan,” kata Nora lagi.

Pada 24 Mac 2017, Nora atau nama sebenarnya Wan Norafizah Wan Ariffin kehilangan suaminya, Allahyarham Johan Nawawi yang juga seorang komposer ternama tanah air.

Sumber: Astro Awani

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*