Zara Zya beri sebab tak masuk akal kenapa putus tunang

KUALA LUMPUR: ‘Reda dan tabah.’ Itu pilihan yang ada bagi pelakon, Zara Zya apabila diminta mengulas mengenai pertunangannya dengan Hafreez Adam, putus, bulan lalu.

“Menjadi kuat dan reda adalah pilihan saya untuk terus melalui kehidupan dan menerima suratan tertulis,” katanya kepada BH Online.

Akui Zara, jika diikutkan, sehingga hari ini, dia masih menerima ucapan tahniah atas pertunangannya dengan Hafreez.

“Pada mulanya, saya sangka ucapan tahniah itu kerana saya menang pada Anugerah Skrin (ASK) 2019, baru baru ini. Tapi sebenarnya kerana pertunangan saya dengan Hafreez.

“Namun, jodoh saya dengan dia tidak panjang. Kami berpisah cara baik. Kami berfikir dan menyelesaikan semua ini dengan matang.

“Perlahan-lahan saya harus menerima hakikat jodoh kami sudah tiada,” katanya.

Mendedahkan perpisahan mereka bukan atas faktor ‘orang ketiga”, Zara mengaku soal kekangan masa dan kesibukan mencari rezeki antara punca hubungan dengan Hafreez makin menjauh.

“Memang kebelakangan ini, kami jarang berjumpa. Saya sibuk dengan komitmen lakonan. Dia pula sedang mengukuhkan perniagaan yang semakin berkembang.

“Saya tak tipu adalah gaduh-gaduh ‘manja’. Perhatian yang diberi dengan bermacam kisah itu dan ini yang dihidu atas nama kami selebriti, kadang-kadang membuatkan kami tertekan.

“Namun, punca ‘orang ketiga’ sama sekali tidak betul,” katanya.

Tambah pelakon yang mula dikenali dalam drama Love You Mr Arrogant ini, Hafreez adalah jejaka yang sangat baik.

“Dia sangat budiman. Keluarganya pun melayan saya dengan baik.

“Cuma akhirnya, hati itu rasa makin menjauh,” katanya yang memenangi trofi Pelakon Wanita Terbaik Drama Rantaian pada ASK 2019.

BH Online melaporkan, Hafreez, 29, mengesahkan ikatan pertunangannya dengan Zara, 34, sudah terlerai, bulan lalu.

Akur dengan suratan tertulis, Hafreez bagaimanapun menjelaskan, mereka berpisah secara baik.

Hafreez dilaporkan berkata, dia dan Zara sepakat meleraikan segala spekulasi berkaitan hubungan mereka yang dikatakan retak, sejak beberapa hari lalu.

Pasangan yang berkenalan ketika bergandingan dalam drama Monalisa pada 2017 mengikat tali pertunangan pada 12 Oktober lalu. Mereka merancang mendirikan rumah tangga pada Oktober tahun depan.

Sumber BHarian

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*