Sufian Suhaimi terdesak sampai ingin guna `Tinder`

SELEPAS berdepan episod putus tunang dan kegagalan dalam hubungan cinta, penyanyi Sufian Suhaimi nampaknya ingin mencuba aplikasi temu janji bagi mencari pasangan hidup baharu.

Menerusi laman Twitter, Sufian, 28, berkata dia tidak teragak-agak untuk menggunakan aplikasi Tinder yang diketahui merupakan salah satu laman sosial popular untuk mencari pasangan atau kekasih.

“Aku main Tinder juga ni kang (nanti),” tulis Sufian.

Luahan hasrat penyanyi lagu Di Matamu ini menarik perhatian netizen dan menerima hampir 7,000 retweet serta lebih 14,000 tanda suka daripada pengikut.

Rata-ratanya terhibur dengan status yang ditulis Sufian itu dan mencadangkan pelbagai cara dan aplikasi yang sesuai untuk mencari jodoh.

Malah, ada juga yang menyarankan bekas tunang Elfira Loy itu mencuba aplikasi temu janji berkonsepkan Islamik iaitu Till Jannah dan Salam Jodoh.

“Jangan buat kelakar… terdesak sangat ni Pian! Haha, sabar Pian, jumpa la tu nanti yang tak pandang harta benda.

“Sabar Pian, awak boleh dapat lebih baik dari itu. Main dekat area masjid je Pian, Insya-Allah… Allah tolong.

“Cuba aplikasi Till Jannah, Insya-Allah… tak pun try Salam Jodoh,” komen pengikut.

Menerusi laporan mStar pada awal tahun ini, Sufian berkata kesibukan kerja bukan penghalang untuk dia kembali bercinta.

Bagaimanapun, dia enggan terburu-buru mencari cinta selain menyerahkan kepada takdir.

“Kalau nak ikutkan untuk tahun 2020 ini saya memang ada perancangan untuk kerjaya seni tapi itu bukan alasan untuk tutup pintu hati.

“Saya tak letakkan sebarang sasaran untuk bercinta sebab sekarang ni pun belum ada kekasih atau calon yang sesuai,” ujarnya.

Pada Februari tahun lalu, Sufian dikatakan sudah mempunyai kekasih baru apabila foto lelaki miripnya bermesra dengan seorang wanita tersebar.

Namun, dia menafikan individu tersebut adalah dirinya dan menganggap ada lelaki lain yang mempunyai wajah seirasnya.

Terdahulu, Sufian pernah mengikat tali pertunangan dengan pelakon Elfira Loy pada 6 Oktober 2017 namun hubungan itu berakhir pada 19 Februari 2018.

Sumber Mstar

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*