Abam ‘buang tabiat’ seminggu sebelum meninggal

MENYURUH ibunya, Sabariah Arshad tinggal bersama adiknya Ali, mengadu dengan ibu yang jiwanya kosong, mandi awal pagi dan memotong kuku kemas dan bersih.

Inilah tanda-tanda akhir atau perangai ‘buang tabiat’ diperlihatkan Allahyarham Abam Bocey sebelum meninggal dunia pada 10 Februari lalu.

Ia diceritakan adiknya, Ali ketika tampil sebagai tetamu program MeleTOP malam tadi bersama pengacara Nabil dan Jihan Muse.

Turut bersama dalam program itu ialah anggota Bocey, Fad dan Achey.

Ali dalam temubual itu berkata, abangnya menunjukkan tanda-tanda ini seminggu sebelum pemergiannya pada Isnin lalu.

“Abang sebenarnya sudah buang tabiat yang kita tak perasan. Dia ada cakap pada mak, mak lepas ini pergi duduk dengan champion (juara).

“Ketika itu saya baru menang Maharaja Lawak Mega bersama kumpulan Puteh. Lagi satu, dia mesej dalam kumpulan WhatsApp keluarga, aku dah penat jaga mak. Tiba giliran kau angah (Ali) jaga mak.

“Dia turut senaraikan ubat-ubat yang mak perlukan. Sebenarnya kita tahu apa ubat-ubat ini tapi dia tiba-tiba nak ingatkan,” katanya.

Abam menghubungi ibu mereka pada malam Rabu kerana ibunya berada di rumah Ali.

“Dia tanya mak kat mana dan mak jawab dengan saya. Dia kata abang nak beritahu mak sikit, jiwa abang dah kosong. Mak tanya kosong macam mana? Dia jawab entahlah abang dah tak fikir apa-apa. Abang dah rasa tiada ketenangan dalam diri dan jiwa dah kosong. Mak cakap engkau merepek apa. Dia jawab entahlah,” katanya.

Menurut Ali, keesokannya dia membawa ibu mereka untuk berubat bahagian lutut yang sakit dan ketika itulah Abam menghubungi ibunya.

“Dia tanya mak pergi mana dengan saya? Apabila mak beritahu hal sebenar, Abam minta maaf tak dapat ikut kerana badannya sakit dan rasa demam.

“Mak tanya dah makan ubat ke belum? Jawabnya dah makan tapi badannya seperti dicucuk-cucuk. Kepala pun sakit. Kita pun ingat tiada apa-apa. Apabila dapat berita pagi esok, saya tanya isterinya apa yang terjadi malam tadi. Dia kata pukul dua pagi abang (suami) minta mandi,” katanya.

Ali berkata, ia sesuatu yang mengejutkan kerana setahunya Abam tidak pernah mandi malam.

“Isterinya juga beritahu Abam potong kukunya sehingga kemas. Abam tidur sekitar jam 6.30 pagi selepas subuh. Apabila dikejutkan pada jam 7 pagi, didapati Abam sudah tak sedarkan diri,” katanya.

Sebaik sampai di rumah Abam, Ali terus berlari untuk melihat keadaan abangnya.

“Saya baca surah al-Fatihah dalam hati dan pegang kakinya sangat sejuk sampai ke lutut. Saya masih tak puas hati dan kata abang, angah datang bawa emak,” katanya.

Menurutnya sebaik pasti Abam sudah tiada, dia membisikkan perlahan-lahan di telinga ibunya memberitahu perkara sebenar.

Selain anggota Bocey, perkongsian cerita Ali mengundang sebak Nabil dan Jihan Musa serta penonton yang turut mengalirkan air mata.

Sumber Hmetro

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*