Empat Tahun Menunggu, Pereka Fesyen Ruzaini Jamil Bakal Bergelar Bapa – “Akhirnya Allah makbulkan doa kami ”

SELEPAS empat tahun mendirikan rumah tangga, pereka fesyen jenama terkenal Rizman Ruzaini iaitu Ruzaini Jamil bakal bergelar bapa selepas isterinya, Hidayati Yahya hamil empat bulan.

Ruzaini atau nama sebenarnya Wan Mohd Ruzaini Wan Jamil meluahkan rasa syukur atas rezeki zuriat yang diberikan kepada mereka.

“Tiada kata setinggi bahasa yang dapat kami coretkan untuk digambarkan perasaan syukur yang tidak terhingga dengan rezeki terbesar dari Allah S.W.T kepada kami.

“Empat tahun berdoa dan menunggu dengan penuh kesabaran, Alhamdulillah, doa kami, doa dari keluarga serta rakan-rakan dan semua mereka yang mendoakan telah Allah makbulkan empat bulan yang lalu, ” ujarnya.

Ruzaini dan Hidayati mendirikan rumah tangga pada 5 Februari 2016.

Tambahnya, dia dan isteri akan memelihara kurniaan Allah yang terindah ini dengan penuh kasih sayang dan didikan agama yang secukupnya.

Ruzaini turut meminta keluarga dan rakan-rakan mendoakan agar bayi dalam kandungan sentiasa sihat.

“InsyaAllah akan kami pelihara rezeki dari Allah ini dengan penuh sulaman kasih sayang dan didikan agama selayaknya seperti yang dituntut.

“Kami dengan rasa rendah diri, ingin memohon agar semua rakan taulan dapat terus berdoa supaya bayi dalam kandungan ini cukup sifat, sihat walafiat dan diberi kecerdikan akal, ” ujarnya.

 

Untuk isteriku, moga selamat dan dipermudahkan segala urusan sepanjang kandungan zuriat kita bersama

RUZAINI JAMIL

PEREKA FESYEN

Menerusi perkongsian tersebut, Ruzaini berharap agar anak sulungnya itu bakal membesar menjadi seorang yang soleh tidak kira lelaki atau perempuan.

Dia turut mendoakan agar keselamatan dan urusan isterinya sentiasa dipermudahkan sepanjang kehamilan ini.

“Jika dia seorang lelaki, semoga menjadi Al-Fateh untuk agama dan negara, dan jika dia perempuan, semoga dia menjadi bidadari yang dirindui syurga.

“Untuk isteriku, moga selamat dan dipermudahkan segala urusan sepanjang kandungan zuriat kita bersama. InsyaAllah. Amin ya Rabbal Alamin,” tulisnya.

Ruzaini dan Hidayati atau lebih dikenali sebagai Deqda selamat diijabkabul pada 5 Februari 2016.

Sumber: mStar 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*