Walaupun sudah 46 tahun pemergiannya, Inilah 10 filem P Ramlee yang paling diingati

Walaupun sudah 46 tahun pemergiannya, beliau menghasilkan sejumlah 401 lagu dan terbabit dalam 66 filem sepanjang kerjaya dan legasinya kekal hidup hingga ke hari ini.

JIKA beliau masih hidup, hari ini adalah ulang tahun ke-90 ikon Malaysia legenda, Tan Sri P Ramlee yang juga disifatkan sebagai khazanah negara dalam industri hiburan tempatan.

Artis serba boleh ini cukup dikenali sebagai seorang penyanyi, pemuzik, komposer, penulis lirik, pelakon, pengarah dan produser yang sudah menabur keringat serta jasa ke dalam dunia muzik dan perfileman tempatan melalui pelbagai karya agungnya.

Walaupun sudah 46 tahun meninggal dunia, beliau menghasilkan sejumlah 401 lagu dan terbabit dalam 66 filem sepanjang kerjaya dan legasinya kekal hidup hingga ke hari ini.

Bagi meraikan ulang tahun ke-90 P Ramlee, Rap senaraikan 10 daripada puluhan karya terbaik beliau yang paling diingati.

1. Pendekar Bujang Lapok (1959)

Pendekar Bujang Lapok adalah filem kedua dalam siri Bujang Lapok mengisahkan tiga rakan baik yakni Ramlee, Aziz dan Sudin yang cuba mempelajari ilmu silat dengan Pendekar Mustar dan pada masa sama mereka cuba memenangi hati anak pendekar bernama Rose.

Ketika zaman kegemilangannya, filem ini disenarai dalam Top 5 filem Melayu dihasilkan di Singapura selain menang Anugerah Komedi Terbaik di Festival Filem Asia ke-6 pada 1959.

2. Ali Baba Bujang Lapok (1961)

Filem ini adalah ketiga daripada francais Bujang Lapok yang asasnya diilhamkan daripada cerita Ali Baba dalam Hikayat 1001 Malam.

Filem ini juga antara beberapa filem yang menonjolkan P Ramlee memegang watak antagonis.

Filem ini turut dikenali kerana elemen sinis mengkritik undang-undang di Malaysia ketika itu yang membenarkan penjualan dan penggunaan ganja serta candu yang diketahui memiliki kesan sampingan kepada pengguna.

3. Tiga Abdul (1964)

Filem terakhir arahan P Ramlee di Singapura sebelum beliau berpindah ke Malaysia pada 1965.

Tiga Abdul mengisahkan tiga bersaudara terperangkap dalam tipu muslihat Saudagar Sadiq Segaraga yang menggunakan tiga anak perempuannya untuk mengaut harta mereka.

4. Madu Tiga (1964)

Selain Pendekar Bujang Lapok, filem Madu Tiga juga tersenarai dalam Top 5 filem Melayu terbaik dihasilkan di Singapura pada ketika itu.

Filem ini adalah satira lucu seorang lelaki berkahwin tiga tanpa pengetahuan setiap isteri yang mereka sebenarnya dimadukan.

5. Hang Tuah (1956)

Filem Melayu pertama dalam sejarah perfileman Melayu tempatan yang dirakam dalam warna penuh Eastman.

Filem yang mengangkat sejarah legenda Laksamana Hang Tuah di Melaka ini pernah menerima anugerah Skor Muzik Terbaik di Festival Filem Asia ke-3 di Hong Kong pada 1956, selain tayangan rasmi di Festival Filem Antarabangsa Berlin pada 1957 dan turut tercalon untuk anugerah Golden Bear di festival sama.

6. Ahmad Albab (1968)

Mengambil set kisah dongeng Melayu yang penuh dengan pesanan moral, filem ini menampilkan P Ramlee bersama isterinya sendiri, Puan Sri Saloma.

Manakala adik-beradik Saloma yakni Mariani dan Mimi Loma turut berlakon memegang watak adik-beradik juga.

Filem ini penuh pengajaran mengenai orang kaya sombong dan bongkak yang mengahwinkan anaknya kepada seorang pengembala kambing miskin berasal dari kampung.

7. Do Re Mi (1966)

Secara asasnya filem ini berdasarkan filem Hollywood berjudul The Three Stooges.

Ia adalah judul pertama bagi siri Do Re Mi yang kemudiannya diikuti dengan judul Nasib Do Re Mi (1966) dan Laksamana Do Re Me (1972) yang juga filem terakhir lakonan P Ramlee sebelum meninggal dunia.

8. Anakku Sazali

P Ramlee dianggap sebagai antara pelakon terawal yang memegang dua watak dalam satu-satu masa yakni watak bapa dan anak.

Filem ini juga menggunakan teknik tindih dalam shot, pertama seumpamanya dalam filem Melayu tempatan era itu.

Lakonan hebat P Ramlee yang penuh emosi melayakkan beliau menang Aktor Terbaik Festival Filem Asia di Tokyo pada 1957.

9. Ibu Mertuaku (1962)

Filem ini boleh dianggap antara filem ikonik P Ramlee kerana kisah tragis antara pemuzik Kassim Selamat dan anak orang kaya, Sabariah.

Plot cerita yang bermula agak ringan menjadi dramatik selepas berkembang pada minit ke-30.

Kejayaan paling manis apabila filem ini menang Fotografi Hitam & Putih Terbaik di Festival Filem Asia ke-10 pada 1963, selain P Ramlee turut membawa pulang trofi Anugerah Khas Bakat Paling Versetail.

10. Sergeant Hassan (1958)

Filem ini adalah filem patriotik yang paling ikonik dalam sejarah perfileman Melayu selepas Malaya bebas daripada penjajahan Jepun.

Filem ini pada awal diarahkan oleh Lamberto Avellana tetapi tidak disiapkan dan tugas itu diserahkan kepada P Ramlee.

sumber : HM

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! Limau Madu Press

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*