Takziah Azian Mazwan, kehilangan anak tersayang setelah tiga mingu ‘ditidurkan’ di ICU kerana ini

SETELAH tiga minggu berada dalam keadaan koma di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Selayang, anak kepada penyanyi Azian Mazwan Sapuwan menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 11.30 pagi, Isnin.

Berita sedih itu disahkan sendiri oleh Azian menerusi aplikasi Whatsapps.

“Anak Yan (Azian) baru meninggal dunia tadi… nak cakap itu saja,” ujarnya dalam satu rakaman suara.

Sementara itu, bekas pengurus Azian iaitu Rushuhaimin Abd Rahman berkata, Mohamad Aqil Zulkarnain, 19, meninggal dunia akibat kerosakan organ dalaman setelah terlibat dengan kemalangan jalan raya pada 22 November lalu.

“Innalillahiwainnailaihirrojiun… anak Azian Mazwan Sapuwan yang terbabit dalam kemalangan telah ‘ditidurkan’ di ICU selama tiga minggu oleh doktor kerana kerosakan organ dalaman baru sahaja menghembuskan nafas terakhir.

“Semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Al-fatihah, salam takziah untuk Azian sekeluarga,” katanya.

Pada 22 November lalu, Aqil dimasukkan ke wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Selayang, Selangor kerana cedera parah di bahagian abdomen dan beberapa organ dalam badan.

Sebelum ini menerusi kemaskini Facebook milik suami Azian iaitu Mohammad Ahrar Zulkarnain pada Ahad lalu memberitahu anak mereka itu berada dalam keadaan koma dan direhatkan untuk memulihkan hati dan limpanya, selepas dibius sejak 13 hari lalu.

Ahrar turut memohon doa sahabat handai dan orang ramai untuk mendoakan Mohamad Aqil dan memohon maaf seandainya anak mereka pernah membuat kesalahan dengan sesiapa pun.

Azian yang juga pelantun suara lagu Cinta Embunan Pagi dan Rumah Kecil Tiang Seribu pernah menyertai Gegar Vaganza musim kedua pada tahun 2015.

Aqil meninggalkan seorang isteri dan seorang cahaya mata lelaki.

Sumber Mstar

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*