Tun M beritahu wabak koronavirus di negara ini belum memasuki tahap serius

KLANG: Wabak koronavirus di negara ini belum memasuki tahap serius, kata Perdana Menteri.

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Kementerian Kesihatan sudah mengambil langkah wajar untuk menyaring pelancong dari China dan mengenakan kuarantin kepada mereka yang ada simptom penyakit itu.

Beliau berkata, rakyat Malaysia yang berada di China sejak beberapa hari lalu juga akan diperiksa sebelum memasuki semula negara ini untuk memastikan mereka tidak menyebarkan penyakit berkenaan. – BERNAMA

Rakyat Malaysia dari Wuhan tidak dijangkiti wabak

KUALA LUMPUR: Seramai 87 rakyat Malaysia yang pulang dari Wuhan dan sekitar wilayah Hubei bersempena cuti Tahun Baharu Cina, setakat ini bebas jangkitan coronavirus 2019-nCoV.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata mereka yang pulang dari China menjalani saringan kesihatan di pintu masuk negara sebaik saja tiba.

Katanya, mereka juga diminta hadir ke klinik kesihatan jika mengalami gejala jangkitan.

“Setakat ini, tiada (jangkitan). Kes yang positif hanya empat kes membabitkan pelancong China,” katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, Duta Malaysia ke China, Datuk Zainal Abidin memaklumkan, seramai 87 rakyat Malaysia yang didaftarkan menetap di bandar raya Wuhan dan sekitar wilayah Hubei meninggalkan kediaman masing-masing di negara itu untuk pulang ke kampung halaman.

Beliau memaklumkan, seramai 28 lagi rakyat Malaysia masih berada di Wuhan dan kini menjalani perintah berkurung susulan penularan coronavirus 2019-nCOV di bandar raya itu, selain turut mengesahkan, semua mereka masih bebas daripada jangkitan wabak itu.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, memaklumkan semua yang memasuki negara ini akan melalui proses imbasan terma dan jika didapati tidak sihat atau demam, mereka akan diasingkan serta ditempatkan di Pusat Kuarantin Kesihatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk tindakan lanjut.

Katanya, individu yang baru kembali dari China atau dalam tempoh 14 hari mengalami demam, selesema atau radang paru-paru dinasihatkan melakukan pemeriksaan lanjut dan pegawai kesihatan diarahkan supaya peka dan mengambil tindakan sewajarnya bagi menangani situasi itu.

Mengenai perkembangan empat pelancong China yang positif coronavirus 2019-nCoV setakat pagi ini, Dr Noor Hisham berkata, mereka berada dalam keadaan stabil.

“Mereka stabil. Tiada yang kritikal atau ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU),” katanya.

Sementara itu, mengenai sama ada Malaysia perlu melaksanakan langkah sama seperti Amerika Syarikat (AS) yang bercadang membawa pulang kakitangan kedutaan dan rakyatnya dari Wuhan dengan pesawat khas berikutan penularan wabak itu, Dr Noor Hisham berkata, China sedang melaksanakan langkah kawalan dengan menutup 13 bandarnya, sekali gus mengehadkan pergerakan lebih 40 juta penduduk bandar itu.

“Sebarang perjalanan keluar masuk ke bandar itu tidak dibenarkan. Penerbangan AirAsia dan Malindo Air juga sudah membatalkan penerbangan mereka dari dan ke Wuhan,” katanya.

Sumber bharian

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*