2 individu yang dibawa pulang dari Wuhan tak lepas saringan kesihatan dan ini yang dilakukan kepada mereka

MISI membawa pulang rakyat Malaysia dari Wuhan, China yang dilanda wabak koronaviruus baharu berjaya apabila 133 individu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal pagi semalam.

Pesawat AirAsia, yang dalam Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) yang digerakkan kerajaan Malaysia, membawa pulang 107 individu yang terkandas di wilayah Hubei, membabitkan 88 rakyat Malaysia dan 19 lagi pasangan serta anak mereka yang bukan warganegara.

Turut serta dalam penerbangan yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Wuhan Tianhe adalah enam pegawai Kedutaan Besar Malaysia di Beijing, lapan petugas misi dan 12 kru penerbangan.

Pesawat khas itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada jam 3.50 petang kelmarin bersama 12 kru dan lapan petugas misi HADR sebelum selamat tiba di tanah air pada jam 5.57 pagi.

Pesawat itu turut membawa 500,000 pasang sarung tangan getah sebagai sumbangan kepada kerajaan China untuk membantu menangani penularan koronavirus di negara

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata semua penumpang dibenarkan menaiki pesawat selepas melepasi tapisan kesihatan oleh kerajaan China.

“Sebaik mendarat di KLIA, mereka dibawa menaiki bas ke Air Disaster Unit (ADU) untuk melalui tapisan kesihatan. Daripada 107 yang dibawa pulang dari Wuhan, dua individu tidak melepasi tapisan kesihatan itu dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya semalam.

Pemindahan penumpang dan anak kapal dari pesawat itu ke ADU mengambil masa kira-kira dua jam dengan hanya satu bas sahaja milik Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk tujuan itu sebagai langkah menghindari sebarang jangkitan virus itu.

Malahan pemandu bas berkenaan dilihat memakai peralatan perlindungan khas sebaik memulakan tugas memindahkan penumpang yang memakai topeng hidung dan mulut menuju ke ADU.

Susulan prosedur pengimbas kesihatan yang dijalankan itu, dua bas Jabatan Bomba dan Penyelamat dilihat meninggalkan ADU dengan diiringi polis kira-kira jam 9 pagi untuk menuju ke kemudahan pengawasan iaitu Pusat Rumah Pengawasan di mana kesemua mereka akan menjalani kuarantin selama 14 hari.

Dua lagi bas juga dilihat meninggalkan ADU untuk kemudahan pengawasan kemudian.

Dr Wan Azizah, yang juga Pengerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara, berkata, berkata jumlah awal yang berdaftar dengan Kedutaan Besar Malaysia di republik itu untuk kembali ke Malaysia adalah 141 individu tetapi 34 individu tidak hadir berikutan masalah logistik.

“Menurut Wisma Putra, sebilangan rakyat Malaysia yang dijadualkan dalam penerbangan ini tidak dapat meninggalkan Wuhan atas masalah logistik.

“Sebab utama adalah mereka berada di luar bandar Wuhan dan kesukaran untuk mendapatkan kenderaan untuk menuju ke bandar Wuhan atau ke lapangan terbang,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata semua urusan di dalam pesawat dilakukan pasukan Perubatan dan Pasukan Kesihatan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia, manakala Pusat Pemantauan diselia petugas kesihatan kementerian itu.

Beliau menegaskan sepanjang tempoh intervensi 14 hari di pusat itu, perhubungan adalah terhad kepada petugas kesihatan sahaja dan tiada pihak luar termasuk ahli keluarga dibenar memasuki pusat itu.

“Justeru, ahli keluarga atau sahabat handai diminta memahami situasi ini dan hendaklah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pelaksanaan pemantauan ini,” tegasnya.

Beliau berkata untuk tujuan keselamatan, lokasi pusat itu dikawal oleh polis dan saringan kesihatan akan dibuat dua kali sehari, bagi memastikan mereka ini benar-benar sihat dan boleh dibenarkan keluar setelah tamat proses pemantauan.

Sumber Hmetro

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*