Syafiq Farhain Sedia Untuk Kahwin Jika Bertemu Jodoh Dalam Masa Terdekat – “Saya Jenis Tak Kisah, Asalkan Sedap Mata Memandang”

PENYANYI Syafiq Farhain mengakui dia bersedia untuk mengakhiri zaman bujangnya jika dipertemukan jodoh dalam masa terdekat memandangkan usianya kini sudah sesuai untuk berkahwin.

Menurut Syafiq atau nama sebenarnya Nursyafiq Farhain A.M Salim, 26, dia tidak meletakkan syarat atau ciri-ciri wanita idaman untuk dijadikan isteri dan menerima saja jodoh yang sudah ditetapkan Allah.

“Saya rasa, memang saya dah perlu berkahwin sebab usia saya sepatutnya dah kena kahwin. Bagi saya, ada rezeki dan ada jodoh, Insya-Allah saya tak kisah sesiapa pun pasangan saya itu.

Syafiq tidak memilih pasangan hidupnya.

“Mungkin ada sesetengah orang meletakkan ciri-ciri untuk mencari pasangan. Tapi saya pula jenis tak kisah, asalkan pasangan saya itu sedap mata memandang.

“Jodoh ini, kalau Allah nak beri, pasti akan dipermudahkan segalanya. Tak perlu kita fikir ia sesuatu perkara yang sukar,” kata Syafiq kepada mStar.

Penyanyi lagu Sakit Hati itu berkongsi perkara itu menerusi siaran langsung Instagram (IG Live) bersama mStar baru-baru ini.

Dalam pada itu, biarpun kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak 18 Mac lalu namun Syafiq masih bekerja sebagai anggota bomba yang bertugas di pejabat.

Syafiq masih menjalankan tanggungjawab sebagai anggota bomba.

Kata Syafiq, selain bekerja PKP juga memberi peluang kepadanya untuk melakukan pelbagai aktiviti yang tidak dapat dibuat sebelum ini antaranya belajar semula bermain gitar dan keyboard.

“Sejak PKP bermula sehingga kini saya memang masih bekerja di pejabat tapi mengikut jadual yang telah ditetapkan. Tidak la sampai hari-hari perlu masuk pejabat tapi dalam seminggu itu ada sekali atau dua kali.

“Bila dah masuk fasa baru iaitu PKPB pula, selang sehari bekerja di pejabat dan di rumah. Alhamdulillah, sehingga kini saya tak ada berhadapan dengan sebarang masalah.

“Sepanjang PKP ni, banyak aktiviti yang boleh buat sebelum ini tak ada peluang nak buat, Antaranya, saya dapat belajar semula main gitar dan keyboard. Selain itu, ada juga aktiviti berfaedah seperti bersenam,” ujarnya.

 

Sumber: mStar

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*