Ubah Persepsi, Gadis ‘Jaga’ Lembu Buktikan

SELEPAS tercicir dari alam persekolahan sejak dua tahun lalu, seorang remaja perempuan kini berjinak dalam bidang ternakan lembu sejak dua bulan lalu.

Nuraina Bashirah Abd Basir, 17, dari Kampung Charok Bakong, Dalam Wang, Baling, kini ‘menjaga’ sembilan lembu diberikan nama antaranya Upin, Ipin, Peah, Naka, KK dan Gila.

Menurutnya, dengan modal permulaan RM3,000 diberikan bapanya, Abd Basir Md Yusoff, 40, dia membeli dua lembu untuk dipelihara.

“Kemudian, bapa menyumbang tujuh lagi lembu menjadikan jumlah keseluruhan sembilan lembu setakat ini.

“Saya yakin inilah kerjaya mampu mengubah kehidupan untuk masa depan meskipun belajar separuh jalan.

“Syukur lembu berusia tujuh bulan sehingga dua tahun membesar dengan sihat dengan memakan rumput dan dedak,” katanya.

Nuraina Bashirah berkata, apabila dia tidak menamatkan persekolahan, pelbagai persepsi dilontarkan masyarakat kepadanya.

Katanya, dia menganggap itu sebagai cabaran untuk terus berjaya di dalam hidup meskipun terpaksa menamatkan persekolahan lebih awal akibat masalah keluarga.

“Saya kini fokus mengejar impian untuk menjadi penternak berjaya.

“Saya akan menumpukan kepada usaha ini kerana ia akan memberikan pulangan lumayan pada masa akan datang,” katanya.

Menurutnya, lembu ternakannya itu diberi rumput pada waktu pagi, dedak pada tengah hari dan diberikan rumput di kebun berhampiran pada waktu petang.

Katanya, dia yakin menternak lembu mampu menjamin masa depan sekiranya dilakukan dengan bersungguh-sungguh.

Pada masa sama, dia berharap ada pihak dapat membantu menyumbang mesin memproses rumput untuk makanan lembu.

Sumber: Harian Metro

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*